MRM taja makan malam kakitangan Hospital Ampang sepanjang PKP

0
302

CYBERJAYA – Menyedari kesukaran yang dihadapi kumpulan petugas hospital ketika ini, penceramah bebas Firdaus Wong Wai Hong tampil menghulur bantuan bagi meringankan beban seharian kumpulan barisan hadapan itu.

Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) itu semalam memberi sumbangan 250 pek makanan kepada kakitangan Hospital Ampang yang bagi memudahkan mereka mendapatkan bekalan makanan.

Hasil daripada kunjungan itu, Firdaus juga berbesar hati untuk ‘menaja’ makan malam petugas hospital itu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

“Semalam kami menerima mesej WhatsApp memaklumkan bahawa para ‘frontliners’ kita di Hospital Ampang terdiri daripada doktor, jururawat dan petugas yang bekerja syif malam kelaparan kerana semua restoran tutup pada waktu malam.

“Maka kami bersetuju untuk membelikan 250 paket makanan bernilai lebih RM1,200 sehari untuk mereka bermula hari ini (semalam) sehingga selesai PKP,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Firdaus berkata, pihaknya akan berusaha untuk membantu dengan apa yang termampu bagi memudahkan urusan dan perjalanan kakitangan hospital yang berjuang memenangkan negara melawan wabak Covid-19.

“Kami akan berusaha membantu apa yang mampu. Mereka berjihad di hospital, kita membantu dengan segala kudrat dan kemampuan kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mewakili MRM iaitu pertubuhan bukan kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan ‘saudara baru’ menyeru umat Islam menderma kepada tabung bantuan yang diuruskannya.

“Jikalau sahabat juga mahu mengambil peluang ini untuk melabur dengan membantu mereka, ayuh.

“Doakan agar frontliners kita dilindungi dan dikurniakan kekuatan oleh Allah Subhana Wa Ta’ala dalam melaksanakan tugasan mereka,” katanya.

Sumbangan boleh dibuat kepada akaun Maybank Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa Kuala Lumpur dan Selangor menggunakan nombor akaun 5648 1052 0353. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here