Mudahkan PKS manfaatkan bantuan: Muhyiddin

0
138

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

PUTRAJAYA – Kerajaan bakal menambahbaik pemansuhan kadar faedah dua peratus kepada kosong peratus untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro itu juga dipanjangkan kepada Tekun Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada kadar faedah kosong peratus.

Menurutnya, untuk tujuan itu, dana sebanyak RM200 juta akan disediakan di mana pemohon hanya boleh memilih salah satu daripada skim tersebut bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan itu.

“Pada masa sama inisiatif yang diberikan pengecualian adalah bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk
peniaga runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat kerajaan Persekutuan
seperti MARA, Petronas, PNB, PLUS dan UDA serta beberapa syarikat milik kerajaan negeri yang telah bersetuju untuk memberi diskaun atau tidak mengenakan sewaan ke atas premis mereka khusus untuk penyewa PKS,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, atas prinsip perkongsian bebanan, beliau turut menggesa pemilik premis swasta untuk turut memberikan kemudahan yang sama dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya semasa waktu Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) dan tiga bulan selepas PKP berakhir.

Katanya, pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana akan diberi
potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa tersebut bagi bulan April 2020 hingga Jun 2020.

“Potongan cukai tambahan ini
diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu hendaklah
sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa asal bagi tempoh tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga membenarkan pengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25 peratus kepada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga 31 Disember 2020.

Bagaimanapun katanya, pengurangan bayaran levi itu tidak terpakai kepada pembantu rumah.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here