My Esports: MyStay@HomeChallenge bantu cari bakat baharu

0
289

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) mengambil inisiatif mewujudkan Kejohanan My Esports:MyStay@HomeChallenge sebagai langkah mencari bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Kejohanan itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 dengan menggalakkan orang ramai untuk berada di rumah.

KBS dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu bukan sahaja sebagai pengisian aktiviti di rumah sepanjang PKP, malah ia merupakan usaha dalam mendidik masyarakat bahawa sukan elektronik adalah sukan yang mempunyai potensi di samping mampu melahirkan atlet e-sports profesional.

“Aspek kesihatan pemain akan turut diberi penekanan melalui penerapan elemen pendidikan sepanjang kejohanan ini berlangsung. Pemain akan didedahkan kepada cara bermain dengan sihat melalui senaman ringkas yang patut diamalkan oleh penggemar e-sports semasa bermain,” kata kenyataan itu.

Kejohanan secara dalam talian itu yang melibatkan 13 negeri serta dua wilayah persekutuan, akan bermula Khamis ini sehingga PKP berakhir pada 14 April.

Acara itu yang mempertandingkan dua jenis permainan, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGMobile) secara berkumpulan, terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat negeri, yang akan berlangsung pada 9 hingga 10 April manakala kejohanan peringkat kebangsaan pula 12 hingga 14 April.

“Sasaran jumlah penyertaan peringkat negeri bagi MLBB adalah sebanyak 64 pasukan meliputi penglibatan 320 pemain manakala bagi PUBGMobile pula, 64 pasukan disasarkan dengan penglibatan 256 pemain,” menurut kenyataan itu.

Penggemar atau pemain e-sports yang berminat untuk menyertai kejohanan itu boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kelayakan, pendaftaran dan syarat penyertaan menerusi media sosial ESM dan KBS.

Pendaftaran akan dibuka kepada seluruh peminat e-sports di Malaysia bermula hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here