New York wajibkan penutup hidung, mulut

0
90

NEW YORK – Gabenor negeri ini mengambil langkah mewajibkan pemakaian penutup hidung dan mulut di tempat awam selepas orang ramai gagal mematuhi peraturan penjarakan sosial, lapor agensi berita Xinhua.

Gabenor Andrew Cuomo berkata, perintah pemakaian alat itu diwajibkan sebagai langkah pencegahan yang pada ketika ini dilihat paling berkesan dalam mencegah penularan wabak itu.

“Saya mengeluarkan Perintah Eksekutif hari ini, semua orang mesti memakai penutup hidung dan mulut,” kata gabenor dalam akaun Twitter miliknya.

Langkah itu juga katanya, perlu dilaksanakan memandangkan wujud keperluan di tempat-tempat tertentu melibatkan pergerakan manusia yang padat.

“Contohnya, jika seseorang menaiki pengangkutan awam, mustahil untuk menjaga jarak sosial atau berjalan di kawasan yang sibuk,” katanya.

Semalam, New York mencatat 752 lagi kematian Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 11,500 orang menjelang Rabu petang, menurut Johns Hopkins University.

Cuomo berkata, negeri itu juga akan menyemak laporan kematian Covid-19 untuk memasukkan data mereka yang mungkin meninggal dunia kerana penyakit berkenaan tetapi tidak pernah diuji, satu pendekatan baharu diambil New York.

Angka korban akibat Covid-19 di New York meningkat sekitar 3,700 orang pada Selasa melebihi 10,000 orang selepas kakitangan jabatan kesihatan bandar bekerja selama berminggu-minggu untuk mengumpul maklumat kes-kes disyaki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here