
CYBERJAYA – Rakyat Malaysia perlu membiasakan diri dengan norma baharu dengan tidak bersalam selain mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri bagi memutuskan terus rantaian Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, norma baharu itu perlu diamalkan semua orang termasuk anggota Parlimen yang mahu bersidang tidak lama lagi.
“Berhubung dengan sidang Parlimen, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai kuasa melainkan menasihati kerajaan berhubung fakta mengenai Covid-19.
“Kami akan memberikan data sama ada kes Covid-19 naik atau turun, atau apa saja mengenai progres kebolehjangkitan virus ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Noor Hisham berkata, selain daripada fungsi itu, ia tidak tertakluk dalam bidang kuasa KKM.

“Namun, ujian saringan menggunakan mesin pengimbas suhu perlu dibuat tidak kira di Parlimen atau restoran.
“Ini norma baharu kita, sama ada pergi ke Parlimen, restoran, atau mana-mana institusi saringan suhu badan perlu dilakukan termasuk penjarakan sosial dan menggalakkan kebersihan diri.
“Selepas ini tidak ada lagi amalan bersalam tidak kira di Parlimen atau mana saja, inilah amalan rakyat Malaysia perlu dilakukan untuk memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini,” katanya. – MBNews