Operasi jabatan kerajaan di Bangunan Sultan Iskandar dipendekkan

0
214
Operasi pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru akan dipendekkan kepada antara pukul 7 pagi hingga 7 malam, bermula Jumaat ini. Foto internet.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Operasi pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru akan dipendekkan daripada 24 jam sebelum ini kepada antara pukul 7 pagi hingga 7 malam, bermula Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, operasi di Kompleks Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua pula berjalan seperti biasa iaitu 24 jam sehari termasuk bagi kenderaan komersial seperti lori dan kargo.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menurutnya, ia membabitkan pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia dan kenderaan komersial seperti lori dan kargo yang melalui Tambak Johor dari Singapura.

“Jika ada kes kecemasan, mereka boleh menggunakan Laluan Kedua.

“Bagi Kompleks Sultan Abu Bakar, operasi berjalan seperti biasa iaitu 24 jam, termasuk kenderaan komersial seperti lori dan kargo. Ini supaya kes-kes kecemasan dan keperluan perubatan tidak terjejas,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ismail Sabri berkata, ramai yang melahirkan rasa kebimbangan dengan kemasukan rakyat Malaysia melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua yang pulang dari Singapura.

Katanya, setakat ini, laporan Jabatan Imigresen mendapati tiada kemasukan secara besar-besaran oleh rakyat Malaysia di pintu masuk dari Singapura.

“Individu yang masuk melalui pintu masuk Johor diwajibkan menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here