Padah berkaraoke, minum arak di halaman rumah

0
183

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA –  Gara-gara tidak mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berjalan, empat lelaki ditahan kerana didakwa berkaraoke sambil minum minuman keras di halaman rumah setinggan di Gelang Patah, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu kenyataan bekata, tindakan menahan empat lelaki dari Sabah berumur 19 hingga 51 tahun itu adalah atas maklumat daripada ‘Viral Facebook Angeline Tan’.

“Siasatan awal ke empat-empat suspek mengaku ada semasa kejadian tular di halaman rumah.

“Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah sebuah pembesar suara ‘bluetooth’,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, ke semua individu yang ditangkap akan dipohon reman di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan (Dengan Niat Jahat Melakukan Perbuatan Yang Mungkin Merebak Penyakit Berbahaya Kepada Nyawa Orang Lain), jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau boleh dikenakan denda atau ke dua-duanya sekali.

“Di bawah Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 pula jika disabitkan kesalahan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau ke dua-duanya sekali,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan kerjasama dari setiap lapisan masyarakat supaya sentiasa berada di rumah dan mematuhi setiap arahan semasa yang dikeluarkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana orang yang ingkar dan tidak mematuhi PKP ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here