Pakchips harap usahawan lain tidak putus asa

0
268
Mardhiah Lin menunjukkan Pakchips yang boleh didapati di Raudhah Grocer, Malakat Mall.

Oleh  NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Siapa sangka ketika ramai usahawan sedang rancak mempromosikan produk bumiputera termasuk barangan Buy Muslim First (BMF) mereka terpaksa berdepan pula dengan dugaan apabila  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan akibat penularan Covid-19.

Bagaimanapun, pengusaha kerepek nangka dari Negeri Sembilan, Mardhiah Lin Abdullah berkongsi nasihat supaya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang lain tidak terus berputus asa dengan apa yang berlaku.

Menurutnya, beliau percaya kebanyakan usahawan mempunyai peluang lebih cerah selepas ini dan sentiasa berdoa supaya jualan selepas tempoh PKP nanti berlipat kali ganda.

“Sebenarnya sejak pengumuman PKP syarikat Pakchips tidaklah terjejas teruk  dari segi pengeluaran dan pasaran kerana  kami merupakan IKS yang kecil sahaja.

“Mujur pada bulan lepas kami memaksimakan pengeluaran nangka segar di mana telah membuat persediaan awal menyediakan kira-kira 200 katon stok Pakchips untuk tempoh dua minggu pertama bulan itu.

“Sebaik sahaja kerajaan umumkan PKP sudah tentu produk saya tidak boleh dihantar kepada pelanggan ‘offline’ seperti pasaraya, halal mart dan stesen minyak.

“Bagaimanapun 20 peratus jualan dalam talian membantu perniagaan untuk dipasarkan  melalui  Facebook, Instagram, aplikasi Whats App, Telegram, Shoppee dan kedai kami di bawah Air Asia,” katanya kepada MBNews.

Mardhiah yang mengusahakan inovasi kerepek nangka madu sebagai makanan ringan sihat itu bersyukur dalam kekangan berdepan PKP itu terdapat pelanggan
‘original equipment manufacturer’ (OEM)
terus memberi sokongan kepada perniagaannya.

Katanya lagi, terbaharu pihaknya mendapat tempahan pesanan 300 paket Pakchips yang mencecah berat 25 kilogram.

Mengulas mengenai pasaran Pakchips di Malakat Mall pula, beliau berkongsi cerita pada awalnya sambutan memang menggalakkan malah telah menambah stok selepas pra pembukaan Malakat Mall.

Namun katanya, setelah PKP, pihaknya berdepan kesukaran untuk menghantar produknya ke sana namun berhasrat akan berbuat demikian dalam masa terdekat .

“Bagi saya, jualan di Raudhah Grocer, Malakat Mall sememangnya mendapat sokongan bukan sahaja pelanggan setempat malah luar kawasan.

“Saya percaya selepas ini sokongan itu akan berterusan seperti mana di awal pembukaan Malakat Mall kerana ini antara pasaran produk Muslim yang mampu menjadi pilihan pelanggan kita ,” katanya yang turut mendoakan supaya Covid-19 pulih dan semua peniaga dapat menjalankan perniagaan mereka seperti biasa.

Produk berasaskan nangka madu yang dipasarkan oleh Pakchips itu terkenal kerana masih mengekalkan rasa asli dengan 100 peratus tanpa campuran pengawet.

Rasa nangka juga masih dikekalkan tanpa mencampurkan bahan lain seperti gula.

Terbaharu produk Pakchips boleh didapati di Raudhah Grocer, Malakat Mall.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here