Pakej PRIHATIN Tambahan tepat, menyeluruh

0
89

CYBERJAYA- Pakej PRIHATIN Tambahan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berjumlah RM10 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin semalam adalah bertepatan, menyeluruh dan menepati sasaran.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pakej berkenaan adalah langkah radikal yang mampu merangsang industi PKS di negara ini selain merevitalisasi ekonomi negara pada masa kini.

Beliau berkata, langkah kerajaan untuk menawarkan bantuan tambahan selepas pelbagai maklum balas diberikan, sememangnya menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap denyutan nadi rakyat, peniaga dan pengusaha industri kecil dan sederhana.

“Melalui pelbagai inisiatif yang dibentangkan, ternyata kerajaan amat mengiktiraf PKS sebagai tunjang utama ekonomi negara.

“Ini jelas berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan PKS tempatan mencatatkan sumbangan yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) apabila merekodkan sumbangan sebanyak 38.3 peratus atau RM521.7 bilion pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, mengingatkan supaya tiada sebarang limitasi untuk memenuhi segala permintaan bantuan PKS terbabit.

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah mengambil kira pandangan dan kebimbangan yang disuarakan oleh pemegang taruh PKS berkaitan dengan kemelut yang dihadapi, namun kerajaan perlu bertindak dengan wajar berasaskan kemampuan kewangan negara.

“Bagaimanapun, sesuai dengan kemampuan kewangan sedia ada, kerajaan dilihat telah menunjukkan komitmen yang teguh untuk memastikan tiada segmen masyarakat yang tercicir daripada mendapatkan bantuan,” katanya.

Katanya lagi, apa yang diharapkan ialah bantuan tambahan berkenaan dapat meringankan beban majikan PKS selain menjamin kepentingan lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here