Pasukan khas pantau industri pembinaan dibenarkan beroperasi

0
218

CYBERJAYA – Satu pasukan penguat kuasa melibatkan beberapa agensi kerajaan diwujudkan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan syarikat pembinaan yang diluluskan beroperasi serta mengambil tindakan terhadap syarikat beroperasi tanpa kelulusan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pasukan penguat kuasa itu tediri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Tambah beliau, penguatkuasaan itu melibatkan industri pembinaan yang perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan oleh Kementerian Kerja Raya dan CIDB.

“Syarikat hendaklah mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minima atau tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah semasa diperlukan.

“Syarikat perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan ‘contract tracing’ pekerja yang telah dijangkiti Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar khas di Putrajaya hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, syarikat perlu menyediakan pengangkutan bagi pergerakan pekerja dengan mengamalkan penjarakan sosial dan kenderaan yang digunakan perlu dinyah kuman sebelum serta selepas digunakan.

Beliau berkata, syarikat hendaklah memberikan pemahaman dan garis panduan menangani Covid-19 kepada rantaian mereka.

“Sekiranya syarikat menyediakan kemudahan ‘Centralised Labour Quarter’ (CLQ) untuk pekerja.

“Syarikat perlu memastikan ia mematuhi Garis Panduan CLQ dan penginapan pekerja binaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan CIDB serta mana-mana agensi berkaitan,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here