Pasukan pakar perubatan China turut menjalani proses saringan

0
182

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lapan pakar perubatan dari China yang tiba di negara ini akan turut menjalani proses saringan bagi memastikan kumpulan itu bebas daripada wabak Covid-19.

“Mereka akan menjalani proses yang sama di mana pengambilan ‘swab’ akan dilakukan dan kita akan laksanakan pemeriksaan sampel lendir hidung atau tekak (PCR).

“Jika mereka didapati positif Covid-19, kita akan masukkan ke hopsital tapi kalau negatif barulah kita akan pertimbangkan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Terdahulu dilaporkan seramai lapan pakar perubatan dari China tiba di negara ini bagi membantu Malaysia memerangi Covid-19.

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, ketibaan pakar perubatan itu adalah melambangkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kerjasama yang dijalankan, Dr. Noor Hisham berkata, walaupun kes positif baharu di negara ini memperlihatkan penurunan namun terdapat banyak isu perlu diteliti dengan sebaiknya.

“Dalam kalangan mereka adalah daripada Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China dari Guangzhou dan kepakaran mereka antaranya pakar penyakit berjangkit, pakar data analisis dan sebagainya.

“Jadi, mungkin dengan kepakaran mereka semasa di Wuhan itu kita boleh belajar untuk mempertingkatkan lagi kajian serta perkhidmatan dalam menangani Covid-19 di negara ini.

“Kita juga akan berbincang bagaimana kita boleh bekerjasama dalam meningkatkan lagi pengesanan virus dan rawatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here