Pejabat LHDNM beroperasi esok, langkah pencegahan Covid-19 diperketat

0
252

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) akan beroperasi semula esok dengan menawarkan perkhidmatan yang terhad sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa tiga tamat bagi melaksanakan fungsi perkhidmatan penting tersebut.

Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, hanya Pusat Khidmat Hasil dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dikecualikan beroperasi.

Kata kenyataan itu, LHDN merupakan salah sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan telah diklasifikasikan sebagai menjalankan fungsi perkhidmatan penting yang perlu diteruskan. 

“Namun demikian, dengan mengambil kira usaha berterusan memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19, perkhidmatan ditawarkan dalam tempoh PKP ini adalah terhad, di mana perkhidmatan secara dalam talian dengan pelanggan akan diberikan keutamaan,” kata kenyataan itu. 

Tambah kenyataan itu, pemeriksaan saringan suhu badan dan gejala Covid-19 akan diteruskan terhadap semua pegawai, pelanggan, kontraktor dan pelawat yang hadir ke premis agensi tersebut. 

Kata kenyataan itu, proses saringan akan diperketatkan kepada pelawat dan pelanggan yang hadir untuk janji temu dengan pegawai.

“Mereka perlu melengkapkan Borang Pengisytiharan Kesihatan (BPK) yang disediakan sebelum kebenaran untuk berurusan dengan pegawai LHDNM diberikan,” jelas kenyataan itu. 

Katanya, pegawai, pelanggan, kontraktor dan pelawat juga diwajibkan untuk sentiasa memakai penutup hidung dan mulut serta mematuhi arahan penjarakan sosial sepanjang berada di premis LHDNM. 

“Sungguhpun begitu, sekiranya tiada keperluan yang benar-benar mendesak, pelanggan dan pelawat adalah dinasihatkan menangguhkan kehadiran ke premis LHDNM.

“Mereka boleh meneruskan sebarang urusan percukaian melalui telefon, e-mel dan perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan,” jelasnya. 

Dalam pada itu kenyataan tersebut turut menjelaskan, kaunter perkhidmatan e-Filing dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tidak dibuka kepada pelanggan. 

Jelas kenyataan itu, sebarang pengisian e-Filing dan permohonan baharu serta rayuan BPN boleh dilakukan sendiri secara dalam talian melalui sistem yang disediakan. 

“Taklimat percukaian dan pembukaan kaunter perkhidmatan di luar pejabat LHDNM turut ditangguhkan sementara sehingga dimaklumkan kelak,” ujar kenyataan itu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here