Pekerja penghantar makanan wajib jalani saringan kesihatan

0
148

CYBERJAYA – Kerajaan mewajibkan semua pekerja penghantar makanan supaya melakukan saringan kesihatan di klinik kerajaan atau swasta di daerah masing-masing bagi memastikan keselamatan mereka dan pelanggan terjaga.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diwajibkan kepada semua syarikat penghantar makanan atau pun milik individu yang menjalankan operasi di bandar-bandar kecil.

“Keputusan ini dibuat kerana kita mahu menjaga kesihatan mereka kerana penghantar makanan ini mempunyai kontak terus dengan pelanggan dan sudah tentu akan berlaku keadaan bersemuka dengan pelanggan.

“Untuk menjaga kepentingan mereka, semua penghantar makanan perlu disaring,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kekeliruan berhubung status perkhidmatan e-hailing dalam menghantar pesanan makanan menerusi e-bazar.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan arahan kepada lebih 40 syarikat e-hailing yang beroperasi dalam negara untuk memastikan pekerja mereka menjalani saringan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi syarikat kecil atau milik individu yang menyediakan perkhidmatan di bandar-bandar kecil, mereka diminta berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya pihak berkuasa dapat mengesan mereka jika berlaku sebarang isu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here