Pelajar IPT dari zon hijau ke zon hijau sahaja dibenarkan pulang bermula esok

0
162
Pelajar di IPT akan dibenarkan pulang ke kampung yang berada dalam zon hijau bermula esok. Gambar kredit Facebook USM

CYBERJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan hanya memberi kebenaran kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari zon hijau sahaja pulang ke kampung halaman yang juga dikategorikan sebagai zon sama.

Menterinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, mereka yang dari zon merah dan kuning tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Pelajar-pelajar di IPTA dan IPTS, politeknik dan kolej komuniti bakal memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat mulai esok kecuali mereka dari zon merah dan kuning.

“Pelajar yang berada di zon hijau sahaja yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbarnya hari ini berkata semua pelajar yang berada dalam kampus berada dalam zon hijau namun bagi pelajar yang tinggal di luar kampus perlu diperiksa sama ada mereka tinggal di zon hijau atau merah sebelum dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, Noraini berkata, persiapan rapi sedang dijalankan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) , Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan polis bagi menghantar mereka pulang.

Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan pengangkutan untuk membawa pulang pelajar berkenaan dari pusat pelepasan IPT yang telah dikenalpasti.

Tambahnya, setiap perkhidmatan pengangkutan itu akan diiringi seorang pegawai perhubungan yang akan mempunyai senarai lengkap pelajar.

“Selain itu, saringan gejala akan dijalankan oleh KKM dan pusat kesihatan universiti sebelum pergerakan pelajar.

“Pelajar diingatkan sentiasa menjaga penjarakan sosial, memakai topeng muka dan mengamalkan kebersihan dengan memakai pembersih tangan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, KPT juga menyediakan bilik gerakan yang akan beroperasi selama 24 jam bagi membantu ibu bapa dan pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, bagi mendapatkan maklumat lanjut mereka boleh menghubungi talian hotline 03-88706777/6949/ 6628/6623/6124.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here