Pelajar pulang ke Sabah Sarawak akan dikuarantin wajib 14 hari

0
79

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang akan pulang ke zon hijau di Sabah dan Sawarak wajib menjalani perintah kuarantin selama 14 hari setelah tiba di kedua-dua negeri tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses penghantaran pulang akan melibatkan sekitar 53,000 atau 85 peratus pelajar IPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Bagi pelajar yang berhasrat untuk pulang ke Sabah atau Sarawak, penerbangan pulang ke negeri masing-masing akan disediakan oleh kerajaan.
 
“Bagaimanpun, pelajar yang akan pulang ke Zon Hijau di Sabah dan Sarawak akan diterbangkan ke lapangan terbang terdekat dengan kampung mereka dan mesti menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, sebanyak 15 peratus pelajar lagi telah memilih untuk kekal di kampus masing-masing.
 
“Mereka yang memilih untuk terus berada di kampus, KPT akan menyediakan makan minum mereka seperti biasa.
 
“Pengumuman selanjutnya dan lebih terperinci mengenai pergerakan pelajar akan dibuat oleh pihak KPT.
 
“Bagi pelajar di IPT di bawah kawal selia kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, proses penghantaran pulang perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here