Pelancongan domestik dijangka meletup selepas PKP

0
452

CYBERJAYA – Industri pelancongan domestik antara bidang perniagaan yang dijangka meletup dan mendapat permintaan tinggi selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat di seluruh negara tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim, ini kerana orang ramai sudah tidak sabar bercuti dan keluar rumah selepas hampir sebulan terkurung dalam rumah sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.

“Ada orang kata sektor pelancongan akan terjejas teruk tapi bagi saya sektor ini akan cepat bangun semula sebab orang sudah 22 hari berkurung dan tidak sabar keluar bercuti.

“Jadi bagi saya, pelancongan domestik akan meletup, siapa pandai rebut peluang seperti industri calet dan lain-lain akan dapat peroleh manfaat,” katanya dalam siaran langsung siri Wacana Sinar Harian hari ini.

Namun begitu, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, industri pelancongan antarabangsa akan mengambil masa untuk pulih semula berikutan keadaan Covid-19 yang masih belum pulih di kebanyakan negara.

Dalam pada itu, katanya, perniagaan lain yang akan pulih dan berkembang semula ialah pusat pendidikan awal kanak-kanak disebabkan ibu bapa perlu bekerja dan meletakkan anak-anak mereka di pusat berkenaan.

“Selain itu, antara paling penting ialah sektor keselamatan makanan, kita boleh lihat sekarang negara kita terlalu bergantung pada import makanan apabila lebih RM50 bilion dalam bentuk makanan diimport.

“Ini tidak patut berlaku sebab kita mempunyai cuaca dan tanah yang subur untuk menyediakan bekalan makanan mencukupi untuk negara,” katanya.

Menurut Coach Fadzil lagi, penularan wabak Covid-19 juga merupakan satu hikmah untuk usahawan reset semula ekonomi secara total dan beralih kepada ekonomi Islam.

Beliau berkata, dalam sistem ekonomi yang diamalkan sekarang, mereka yang bertaraf jutawan juga terkesan kerana hutang mereka adakalanya melebihi hutang yang ditanggung oleh golongan B40.

Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Raudhah City, Mohd. Fadzil Hashim berkongsi ilmu dan pengalaman pada Konvensyen Kewangan Keusahawanan Islam di Kampus Brainy Bunch, Cyberjaya.

“Dalam ekonomi Islam tidak begitu, kita lihat sahabat Rasullullah, Abdul Rahman ibn Auf yang sangat kaya dan memiliki kekayaan menyamai nilai trilion pada masa sekarang menerusi dinar emas miliknya.

“Oleh itu, apabila kerajaan memberi kemudahan pelepasan moratorium selama enam bulan, sebahagian wang berkenaan boleh digunakan untuk bersedekah bagi mendapat keberkatan.

“Kedua, wang berkenaan boleh dibelanja terutamanya di tempat yang boleh memberi pulangan kepada masyarakat misalnya di Malakat Mall dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, katanya, sebahagian duit itu juga boleh digunakan untuk melabur secara strategik seperti terlibat dalam perniagaan baharu dan lain-lain.

“Bukan guna semua duit itu tetapi ambil sedikit, paling kurang pun boleh sertai Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) dengan membeli syer untuk pelaburan.

“Apa yang berlaku sekarang memberi ruang untuk kita berfikir, merancang dan bertindak. Bukan tunggu selepas PKP baru bertindak, sekarang sudah kena bertindak,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here