Pembatalan UPSR, PT3 bukan pengakhiran akademik

0
251
Kepentingan nyawa dan kesihatan pelajar sewajarnya diletakkan sebagai isu paling utama.

BERITA pembatalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun 2020 oleh Menteri Pendidikan Dr. Mohd Radzi Md. Jidin petang semalam ternyata mengejutkan banyak pihak.

Luar biasa tapi bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk difahami jika kita dapat mempertimbangkan dengan rasional ancaman sebenar virus Covid-19 yang dihadapi negara ketika ini.

Namun ketika ramai menarik nafas lega, ada juga yang mengeluh dan membangkang keputusan itu. Daripada komen-komen di laman sosial, keputusan itu seolah-olah penamat masa depan akademik anak-anak mereka.

Ketika dunia lumpuh akibat penularan wabak yang masih belum reda itu, ternyata ada yang masih terlalu khuatir tentang lokasi penempatan anak mereka di Tingkatan 1 atau takut ‘kempunan’ melihat prestasi sebenar anak mereka.

Sedangkan dua peperiksaan itu bukanlah penentu muktamad dalam sistem pendidikan kita sehingga layak untuk digadai dengan nyawa dan keselamatan rakyat negara ini.

Pada penulis, situasi itu jelas menunjukkan sikap segelintir masyarakat negara ini yang masih tidak memahami ancaman sebenar Covid-19.

Mereka mungkin mengetahui ancaman mautnya, tetapi tidak dari perspektif lain. Tidak dari usaha memutuskan rantaian jangkitan, tempoh inkubasi 14 hari, penjarakan sosial, punca jangkitan, kesan ekonomi, sosial dan sebagainya.

Jadi tidak pelik jika sejak beberapa hari lalu, keadaan lalu lintas di laluan utama Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sesak luar biasa. Agaknya ramai yang mula berasa selamat dan tidak lagi terancam dengan virus itu.

Dalam kata lain mereka seperti sudah ada kepastian bahawa wabak itu akan lenyap tidak lama lagi. Seperti debu disimbah air.

Mungkin juga pada mereka, sebaik sahaja fasa-fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang berakhir, semuanya akan kembali normal.

Jangan bermimpi dan bersabarlah buat seketika. Tidak kira sebanyak mana ‘modal’ dan pengorbanan yang telah dilabur demi pendidikan anak-anak, soal keselamatan sepatutnya lebih diutamakan.

Jangan kerana keterujaan kita untuk kembali menjalani kehidupan yang normal, kita menjahanamkan usaha PKP yang telah dipatuhi sejak 13 Mac lalu sehingga perlu memulakannya semula.

Ketepikan seketika kepentingan sendiri. Jangan jadi seperti nitizen yang secara membuta tuli menuduh kementerian membuat keputusan tergesa-gesa tanpa memikirkan masa depan pelajar.

Pada mereka, baki lapan bulan (sekarang-Disember) masih terlalu panjang untuk ‘dibazirkan’ dengan pembatalan itu.

Apa yang pasti, keputusan besar seperti itu sudah tentu dikaji sedalam-dalamnya. Bahkan seperti diumumkan, Lembaga Peperiksaan Malaysia boleh mengguna pakai pelbagai pendekatan lain untuk mengukur prestasi pelajar.

Satu perkara yang perlu diingat bahawa keputusan kerajaan untuk membuka semula sekolah adalah keputusan yang jauh lebih sukar dan perlu mengambil kira pelbagai keadaan, risiko, petunjuk dan hasil kajian.

“Pelbagai hujah, pra sangka dan tohmahan diluahkan kepada kementerian dan guru-guru seolah-olah keputusan itu (kerajaan) tidak mengambil kira golongan ibu bapa.

“Mereka seperti ahli jawatan kuasa yang tidak dijemput bermesyuarat. Bukan di sini tempat untuk memikirkan soal peribadi dan membangkang. Sila patuh pada kepentingan umum,” ujar warganet pada hantaran laman Facebook berhubung isu itu.

Apa pun penulis rasa ada baiknya kita campakkan sedikit rasa ‘takut’ di dalam hati demi keselamatan anak-anak di sekolah yang berdepan dengan pelbagai kemungkinan wabak ini.

Seperti yang selalu diungkapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah dan petugas barisan hadapan supaya kita tidak tidak terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian negara ketika ini

‘Perang’ ini masih panjang. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here