Penalti daftar lewat sijil kelahiran, kematian dimansuhkan

0
1041

CYBERJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melonggarkan syarat pendaftaran sijil kelahiran dan kematian boleh dilakukan dalam tempoh 90 hari bermula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penalti juga turut dimansuhkan bagi memudahkan orang ramai melakukan urusan tersebut.

“Jadi, kalau hendak daftar kelahiran anak dan juga mendaftar kematian walaupun sekarang tidak boleh didaftarkan tapi dibenarkan selama 90 hari selepas kerajaan umumkan tamat PKP. Penalti juga turut dimansuhkan,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Mengenai isu individu kehilangan kad pengenalan dan memerlukannya seperti untuk dapatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Ismail Sabri berkata, mereka boleh menghubungi pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daerah masing-masing untuk membuat temujanji.

Menurut beliau, jika ada kes kecemasan mereka perlu membuat temujanji dengan pegawai JPN untuk menggantikan kad pengenalan itu.

“Jika tiada kes keperluan segera menukar kad pengenalan masing-masing boleh menunggu dalam tempoh 90 hari selepas PKP ditamatkan,” ujarnya.

Jelas beliau, prosedur sama turut dilaksanakan di luar negara apabila rakyat Malaysia yang mahu menggantikan kad pengenalan boleh berbuat demikian di pejabat kedutaan Malaysia di negara terbabit.

“Bezanya mereka perlu menunggu perintah darurat di negara terbabit tamat akibat wabak Covid-19 dan tempoh 90 hari diberikan untuk melakukan pendaftaran kad pengenalan itu,” katanya.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here