
CYBERJAYA – Kerajaan menjelaskan hanya penerbangan domestik ke Sabah dan Sarawak sahaja dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sekarang.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penerbangan itu dibenarkan khususnya untuk membolehkan mereka yang keluar dari pusat kuarantin pulang ke kampung halaman di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, perkara tersebut telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Ramai juga yang bertanya dan persoalkan, saya nak maklumkan, mereka yang dikuarantin awal dulu sudah boleh keluar dari pusat kuarantin, ada daripada mereka ini asal dari Sabah dan Sarawak.
“Kalau kita nak buka penerbangan bermula 1 Mei ini akan menyebabkan mereka terus kena tinggal di sini lagi 14 hari. Selepas perbincangan dibuat bersama MOT dan MAS dengan kita, perlu ada penerbangan pulang selepas tamat kuarantin 14 hari,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Pada masa sama, katanya, mereka yang pulang ke Sabah dan Sarawak juga wajib menjalani proses kuarantin selama dua minggu di negeri tersebut.
Mengulas mengenai kekerapan penerbangan, katanya, setakat ini hanya sekali seminggu sahaja penerbangan dibenarkan dan pihaknya akan meneliti sekiranya terdapat permintaan berdasarkan keperluan tambahan.-MT