Penerima BSH tidak perlu daftar BPN

0
434

CYBERJAYA – Golongan B40 yang telah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) tidak perlu lagi membuat pendaftaran bagi permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) dalam kenyataan di sini berkata, selain itu, golongan M40 yang telah mempunyai data cukai pendapatan dengan agensi itu tidak perlu membuat pendaftaran bagi permohonan sama.

Menurutnya, ini kerana penerima BSH layak menerima BPN secara automatik manakala golongan M40 yang mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDNM pula akan dinilai berdasarkan jumlah pendapatan dan kriteria lain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Katanya, semakan status penerimaan BPN boleh dilakukan secara dalam talian mulai hari ini dengan melayari https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my.

“Sekiranya status semakan adalah ‘tiada rekod’, orang ramai boleh membuat permohonan baharu dengan klik butang ‘Permohonan Baru’. Permohonan baharu secara dalam talian adalah dibuka sehingga 30 April ini,” katanya kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan itu, orang ramai hanya perlu mengikuti langkah mudah untuk semakan penerimaan BPN.

“Pertama Masukkan Nombor Kad Pengenalan kemudian masukkan kod captcha yang diberikan dan keputusan akan dipaparkan,” ujarnya.

Katanya, orang ramai diingatkan tiada permohonan secara manual menggunakan borang setakat ini memandangkan semua premis LHDNM ditutup sementara sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Sementara itu, kata kenyataan tersebut, bagi permohonan yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my bermula 3 April ini.

“Memandangkan trafik capaian ke portal-portal rasmi yang dinyatakan di atas adalah amat tinggi buat masa ini, orang ramai mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat semakan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan di luar waktu puncak. Segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali,” ujar kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, bayaran BPN akan dilakukan secara berperingkat pada April dan Mei ini. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here