Penggunaan Internet meningkat, kerajaan giat tingkatkan rangkaian telekomunikasi

0
437

CYBERJAYA – Kerajaan bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam memperkukuhkan prestasi rangkaian melalui pelaburan tambahan bernilai RM400 juta seperti diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) baru-baru ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau amat memahami kesulitan dihadapi rakyat apabila akses Internet tidak memuaskan pada waktu tertentu. 

Menurut beliau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini menyaksikan rakyat bergantung kepada Internet untuk menjalankan kebanyakan aktiviti mereka dari rumah.

“Ini termasuk bekerja dari rumah, pembelajaran maya, pembelian dalam talian, hiburan dan sebagainya. 

“Selain itu, kapasiti jalur lebar juga diperlukan untuk menampung keperluan tambahan di lokasi kritikal seperti hospital, pusat kuarantin, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat media,” jelasnya dalam kenyataan hari ini. 

Saifuddin menambah, menurut perangkaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), aliran trafik Internet meningkat sebanyak 23.5 peratus pada minggu pertama PKP, peningkatan sebanyak 8.6 peratus minggu kedua PKP manakala minggu ketiga PKP telah menurun sebanyak 1.6 peratus. 

Namun beliau berkata, kerajaan mengambil pelbagai langkah menampung permintaan tinggi jalur lebar dalam kalangan rakyat terutama sepanjang PKP ini supaya tugasan harian dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan. 

Beliau memberitahu, usaha lain yang sedang dilakukan kerajaan adalah melaksanakan pengoptimuman rangkaian dan peningkatan kapasiti radio di kawasan mempunyai penggunaan yang tinggi.

Beliau berkata, usaha melaksanakan penyuraian penggunaan kapasiti rangkaian dilakukan untuk memenuhi permintaan ‘bandwidth’ yang meningkat di premis kediaman. 

“Menaik taraf sambungan ‘backhaul’ tanpa wayar kepada sambungan gentian optik dan meningkatkan kapasiti rangkaian utama domestik termasuk menyediakan infrastruktur gentian optik baharu, meningkatkan ‘bandwidth’ sambungtara serta mengguna pakai kapasiti rizab,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan berusaha meningkatkan kapasiti rangkaian antarabangsa dan menyediakan stesen pemancar mudah alih serta akses WiFi untuk menangani isu-isu berkaitan dengan trafik rangkaian di kawasan kritikal.

Tambah beliau, sepanjang proses penambahbaikan ini, SKMM memantau prestasi rangkaian dan memudahcara sebarang cabaran dihadapi oleh penyedia perkhidmatan dalam melaksanakan tugas mereka.

“Saya menyeru rakyat Malaysia dapat bersabar dan memahami kekangan dihadapi pihak industri dalam melaksanakan usaha penambahbaikan ‘bandwidth’ secara berterusan demi kebaikan bersama,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here