Pengiktirafan untuk negara – Dr. Noor Hisham

0
263

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menganggap pengiktirafan yang meletakkan beliau sebagai satu daripada tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia dalam menangani wabak Covid-19 sebagai pengiktirafan kepada negara.

Dr. Noor Hisham berkata, sebagai Ketua Pengarah Kesihatan beliau bersama seluruh warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) bekerja di bawah satu pasukan.

“Kami di KKM bekerja sebagai satu pasukan. Saya hanya memberi nasihat namun yang membuat keputusan adalah Perdana Menteri, contohnya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita hanya menasihatkan dan yang buat keputusan dan tindakan adalah Perdana Menteri,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua kementerian dan barisan Menteri yang telah bekerjasama melaksanakan PKP.

” Terdapat empat tindakan yang perlu dilakukan iaitu Kawalan di sempadan yang telahpun dilaksanakan oleh Polis dan Imigresen.

“Selain itu polis juga telah memainkan peranan dalam memastikan rakyat patuh arahan PKP,” katanya.

Disamping itu Dr. Noor Hisham berkata, turut berperanan penting petugas barisan hadapan kesihatan dan polis serta semua mereka yang membantu negara memerangi Covid-19.

” Pengiktirafan itu bukan untuk saya tetapi untuk negara,” katanya.

Semalam dilaporkan Dr. Noor Hisham disenaraikan antara tiga doktor terbaik dan diyakini di dunia atas usahanya menangani wabak Covid-19 di negara ini.

Pengiktirafan itu diberikan oleh sebuah stesen televisyen China, Global TV Network yang turut menyenaraikan Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Ketiga-tiga mereka menerima pujian masyarakat sejak beberapa minggu ini kerana menjadi sumber maklumat paling dipercayai dan berjaya menenangkan orang ramai di negara masing-masing ketika panik melanda akibat penularan wabak berkenaan.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here