Pengorbanan besar rakyat berjihad melawan Covid-19

0
122

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Ramadan tahun ini lebih istimewa kerana sejak sebulan lalu rakyat berjihad melawan Covid-19.
Beliau berkata, sepertimana ibadat puasa, umat dikehendaki berjihad melawan hawa nafsu dan melalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan. 

Beliau menambah, rakyat menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang disukai seperti tidak keluar berjalan-jalan, tidak menonton wayang bersama rakan, tidak pergi melancong dan tidak makan di restoran.

“Bagi yang minat bersukan, mungkin dah lama tak main bola, tak main badminton, tak main boling, tak berjogging dan tak kayuh basikal. Anda cuma duduk di rumah sahaja. 

“Ini satu jihad dan pengorbanan yang besar. Tetapi, pengorbanan yang anda lakukan ini telah membuahkan hasil,” katanya pada perutusan khas hari ini.

Muhyiddin menambah, rakyat terselamat daripada jangkitan Covid-19 dan menyelamatkan orang lain daripada terkena jangkitan. 

Beliau berkata, mereka menyumbang kepada usaha membendung penularan wabak itu dalam masyarakat dan negara. 

“Hari ini, kes-kes baharu Covid-19 telah berkurang dengan ketara. Daripada ratusan kes baharu setiap hari di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Alhamdulillah hari ini kita bersyukur kerana kes-kes baharu telah menurun kepada puluhan kes sahaja. 

“Insya-Allah, dengan usaha-usaha yang sedang giat dilakukan oleh para frontliners (barisan hadapan) kita dan disiplin anda semua mematuhi PKP, kita akan dapat mengurangkan lagi kes-kes baharu Covid-19 ke tahap yang paling minima, dan membendung sepenuhnya penularan wabak ini,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here