Pengusaha bengkel rayu dibenarkan beroperasi

0
237

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA-Seorang pengusaha bengkel kenderaan dari Keramat merayu supaya pihak berkuasa membenarkan bengkel-bengkel kenderaan di sekitar ibu kota beroperasi dalam waktu minimum sepertimana dilaksanakan di Selangor.

Adi Kurniawan Eddy Sham berkata, bengkel kenderaan perlu diberi kebenaran beroperasi dengan tempoh tertentu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi kebaikan orang ramai dan penduduk di kawasan berkenaan.

“Sebagai pengusaha bengkel kenderaan, saya rasa bertanggungjawab untuk turut sama berkhidmat kepada pelanggan yang ramai menghadapi masalah kerosakan kenderaan sehingga menyukarkan aktiviti ke pasar atau ke tempat kerja.

“Setiap hari ada sahaja pelanggan menghubungi dalam keadaan terdesak meminta supaya membaiki kenderaan mereka namun saya bimbang untuk membantu kerana tidak mahu dikenakan tindakan,” katanya.

Adi Kurniawan berkata, beliau mencadangkan bengkel-bengkel kenderaan hanya beroperasi untuk servis membaiki kenderaan atas kerosakan minor seperti menukar bateri, masalah brake, masalah enjin tidak dapat dihidupkan supaya orang ramai dapat menggunakan kenderaan mereka.

“Saya mahu bengkel beroperasi bukan untuk keuntungan semata-mata sebaliknya niat ingin membantu.

“Bengkel saya terletak di AU3, kawasan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Pelbagai masalah penduduk meminta supaya kami membantu dan saya rasa bersalah tidak dapat berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, dia telah membuat rayuan kepada pihak berkuasa supaya membenarkan bengkel beroperasi dengan syarat-syarat tertentu namun pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis tetap bertegas tidak membenarkan.

“Antara syarat yang boleh dikenakan, hanya menerima pelanggan yang membuat temujanji, pelanggan tidak dibenarkan membawa keluarga, pelanggan hendaklah sihat, memakai topeng muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Kami juga akur jika hanya dibenarkan beroperasi hingga pukul 3 petang serta menetapkan supaya tiada bayaran secara tunai, hanya membayar secara pemindahan wang sahaja,” katanya.

Menurut Adi Kurniawan, sejak PKP Fasa 1 dilaksanakan, mereka terpaksa akur menutup bengkel daripada beroperasi namun ia menyebabkan dia bersama empat lagi pekerja hilang mata pencarian.

“Ada pekerja saya tinggal di bengkel dan telah memberi perkhidmatan kepada pelanggan yang sangat memerlukan kerana kenderaan mereka rosak namun dua pekerja saya telah didenda Rm1,600 seorang di mahkamah baru-baru ini malah bengkel ini telah di senarai hitam,” katanya.

Sehubungan itu beliau merayu kepada pihak berkuasa dan pemimpin negara supaya membuka mata lebih luas mengenai arahan penutupan bengkel kenderaan.

“Mungkin perkara ini terlepas pandang, ini salah satu masalah yang penduduk hadapi setiap hari. Pihak berkuasa wajar membenarkan bengkel beroperasi seperti di beberapa negeri lain dengan syarak tertentu.

“Baru-baru ini saya terpaksa juga keluar membantu seorang pelanggan yang hamil apabila kenderaannya tersadai di tepi jalan namun pada masa sama berasa bimbang dikenakan tindakan, ” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here