Penuntut IPT mungkin dibenarkan pulang

0
62

CYBERJAYA – Kerajaan mungkin membenarkan penuntut yang terperangkap di kolej dan kampus pusat pengajian berikutan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan langkah itu diambil bagi memberi kelegaan kepada penuntut.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira jangka masa untuk proses menyaring hampir 100,000 pelajar terbabit dan mahu mengelakkan pergerakan besar-besaran bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Hari ini kita sudah mengambil pandangan Kementerian Kesihatan, kebanyakan penuntut ini berada di kolej lebih 28 hari, jika kuarantin sudah lebih dua kali. Jadi, kita boleh anggap mereka tiada jangkitan Covid-19.

“Jadi, kita bincang bahawa ada kemungkinan boleh benarkan mereka pulang. Namun, kita mahukan SOP ketat dan tidak mahu 100,000 penuntut ini pulang secara serentak dan mungkin juga perlu disaring.

“SOP yang dirangka akan diperhalusi bagi melihat kaedah terbaik untuk benarkan mereka pulang. Kita juga tidak mahu bersesak-sesak di hentian lebuh raya ketika pulang,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sedang lihat kemungkinan dan kaedah untuk benarkan mereka yang sudah lama berada di kampung untuk pulang ke kediaman masing-masing.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here