Peperiksaan UPSR, PT3 batal, SPM, SVM, STAM tunda tahun depan

0
333

CYBERJAYA – Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini dibatalkan manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ditunda suku pertama tahun depan.

Bagi calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pula, tarikh peperiksaan semester 2 diubah kepada Ogos ini manakala peperiksaan semester tiga diadakan pada suku pertama tahun depan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Radzi Jidin dalam sidang akhbar yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, penundaan tarikh peperiksaan tersebut akan memberi kesan kepada kemasukkan ke peringkat pengajian tinggi.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institut pengajian tinggi (IPT).

“Ia melibatkan program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021,” jelasnya.

Mengenai pembatalan peperiksaan UPSR dan PT3 pula, beliau berkata, pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkenalkan kaedah baharu bagi murid untuk pemilihan ke sekolah-sekolah berasrama penuh di peringkat menengah.

“Pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Radzi berkata, pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. 

“Satu kaedah baharu akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik,” ujarnya. 

Beliau berkata, kementerian akan memastikan dalam apa jua keadaan pun, akses murid kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) tetap diberikan keutamaan. 

“Keputusan ini akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

“Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini,” jelasnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here