PKP: 10,000 bilik disediakan untuk rakyat Malaysia dari Singapura

0
126
Singapura melanjutkan tempoh circuit breaker sehingga 1 Jun ini berikutan penularan Covid-19

CYBERJAYA – Kerajaan sudah membuat persiapan rapi dengan menyediakan 10,000 bilik untuk digunakan sebagai pusat kuarantin sekiranya rakyat Malaysia pulang dari Singapura secara beramai-ramai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, namun begitu setakat ini pihak kerajaan masih belum menerima sebarang laporan mengenai kepulangan beramai-ramai itu.

“Setakat hari ini belum ada kepulangan secara besar-besaran sebab kilang di sana masih beroperasi malah kilang ditutup pun rakyat kita yang masih bekerja dan diberi peluang untuk tinggal di sana,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Singapura melanjutkan ‘circuit breaker’ atau langkah ketat bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 sehingga 1 Jun ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah mengarahkan Menteri Sumber Manusia untuk menghubungi rakan sejawatnya di Singapura untuk berbincang mengenai nasib pekerja Malaysia di negara jiran itu.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga akan memastikan jika rakyat Malaysia pulang ke tanah air mereka akan diuruskan secara berperingkat, bukan dalam jumlah besar.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here