PKP 3: Pelajar Mediu perlu bantuan makanan

0
231

CYBERJAYA – Tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke fasa tiga memberi kesan kepada pelajar Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) yang mula mengalami masalah bekalan makanan.

Ketua Eksekutif Mediu, Prof. Madya Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, universiti itu pada fasa awal PKP telah menjalankan aktiviti pengagihan bantuan makanan kepada para pelajarnya di penempatan mahasiswa bermula pada 24 Mac lalu. 

“Bantuan telah diberikan kepada 62 pelajar terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa. Agihan makanan ini dikelolakan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar Mediu dan diuruskan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Bey Zakobe dengan dibantu oleh lapan kakitangan lain.

“Aktiviti agihan bantuan makanan ini diteruskan lagi pada 31 Mac lalu dengan melibatkan penerima bantuan seramai 100 pelajar. Pada 3 dan 4 April bantuan telah berjaya diagihkan kepada 41 pelajar,” katanya di sini hari ini.

Fadlan berkata, program berstatus kebajikan untuk pelajar tersebut membabitkan pengagihan bantuan makanan berbentuk bahan kering dan basah.

Katanya lagi, pihaknya kini masih lagi berusaha mengumpulkan dana untuk bantuan makanan sepanjang PKP fasa tiga kepada pelajar-pelajar yang masih berada di penempatan mahasiswa yang terletak berhampiran kampus Mediu.

“Pihak universiti memerlukan sekurang-kurangnya sebanyak RM6400 setiap minggu bagi menyediakan bantuan makanan kepada 160 orang pelajar dengan kos purata sebanyak RM40 untuk setiap orang pelajar,”katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun universiti atas nama Al-Madinah International University menerusi akaun Maybank 562731104591.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here