PKP: 554 individu ditahan semalam

0
47

PUTRAJAYA – Kadar pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menurun apabila berlaku pertambahan jumlah kes tangkapan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 554 individu ditahan semalam berbanding 368 individu pada hari sebelumnya.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 459 individu telah direman dan 65 individu lagi diikat jamin. Secara keseluruhan sebanyak 213 individu dituduh di mahkamah.

“Sebelum ini, saya bangga kerana berlaku penurunan tangkapan selama empat hari berturut-turut. Tetapi semalam jumlahnya meningkat pula.

“PDRM maklumkan, jumlah tangkapan meningkat kerana ada yang ambil kesempatan keluar pada hari minggu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, semalam polis dan tentera telah mengadakan sebanyak 743 sekatan jalan raya dan memeriksa sebanyak 293,051 kenderaan.

“Selain itu polis juga membuat sebanyak 25,818 pemeriksaan mengejut di seluruh negara termasuk ke atas 4,822 premis,” katanya.

Dalam pada itu katanya, proses kuarantin rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini juga berjalan lancar tanpa sebarang isu berbangkit.

“Semalam sebanyak 925 individu dikuarantin di seluruh negara dengan 118 pusat kuarantin dibuka.Rata-rata mereka memberikan kerjasama dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan,” katanya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here