Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, terdapat peningkatkan jumlah kenderaan di jalan raya semalam dipercayai berpunca rakyat keluar berbelanja untuk hari pertama Ramadhan hari ini.
“Pihak polis telah mengadakan 827 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan melakukan pemeriksaan ke atas 690,494 kenderaan.
“Terdapat kenaikan yang begitu tinggi berbanding sebelumnya,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.
Ismail Sabri berkata, sebanyak 42,941 pemeriksaan mengejut dengan sebanyak 6,700 premis juga telah diperiksa.
Jelasnya lagi, PDRM telah menangkap 550 individu berbanding 763 individu pada hari sebelumnya yang ingkar PKP.
“Ia meliputi 480 individu yang direman dan 70 individu diberi jaminan polis.
“Semalam jua terdapat penurunan dari segi jumlah tangkapan di mana saya berharap jumlah tangkapan akan terus menurun bagi menggambarkan kadar pematuhan rakyat terhadap PKP semakin meningkat,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, seramai 1,014 individu telah dituduh di mahkamah dan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP semalam seramai 19,048 individu. -MBNews