PKP: Beras, bekalan makanan lain mencukupi

0
158

CYBERJAYA – Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan terutamanya beras dan keperluan asas lain adalah mencukupi sepanjang tempoh fasa tiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berikutan itu orang ramai tidak perlu bimbang dan melakukan pembelian panik.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah memberikan taklimat hari ini dan memaklumkan bahawa
bekalan basah dan kering terutamanya beras lebih daripada mencukupi walaupun PKP fasa tiga akan dilaksanakan.

“Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai bekalan makanan kerana MOA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemeriksaan dan bekalan mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri mengenai PKP hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bermula 15 April ini juga iaitu hari pertama PKP fasa ketiga dikuatkuasakan,
KPDNHEP akan melaksanakan skim kawalan harga maksimum bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Sementara itu, katanya, daripada pemeriksaan yang dilakukan oleh KPDNHEP di seluruh negara mendapati keperluan asas berada dalam keadaan stabil.

Malah, katanya, topeng muka dan sabun pencuci tangan juga berada di pasaran dan boleh diperoleh.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here