
Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
CYBERJAYA – Percaya atau tidak rakyat Malaysia masih berdegil dengan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam perkongsian seorang warga maya yang juga pakar motivasi dalam Facebook Bicara Baba Love, beliau berkongsi pengalamannya mencari keperluan dapur.
Menurutnya, masih kelihatan ‘loving couple’ dan ‘keluarga bahagia’ yang tidak boleh berenggang walaupun musim PKP.
“Bila ditegur oleh seorang pakcik dibalas dengan jelingan tajam sepertinya pakcik yang menegur itu buat kesalahan yang besar berbanding masih angkut ‘ahli kabinet’ anda ke sana ke sini.
“Kita sangat memahami anda sangat sayangkan pasangan serta anak untuk sentiasa bersama ke mana sahaja,” kongsinya.
Jelas pakar motivasi itu lagi, setiap individu perlu fahami situasi yang berlaku hari ini menyebabkan keadaan tidak mengizinkan untuk berbuat begitu.
Katanya, sayangilah pasangan dan ahli keluarga terlebih dahulu.
“Lebih baik cuba elakkan dari kemudaratan yang lebih parah.
“Hormati peraturan dan insan lain. Semoga subur kasih sayang sesama kita,” kongsinya. -MBNews