PKP dilanjutkan atau tidak bergantung pada KKM

0
116
Pasukan tentera bersama polis dan agensi keselamatan lain antara barisan hadapan yang terlibat dalam operasi PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu

CYBERJAYA- Keputusan sama ada kerajaan akan meneruskan keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bergantung sepenuhnya kepada laporan penilaian daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan trend terkini jumlah pesakit yang dijangkiti Covid-19 mengalami penurunan namun begitu, keputusan lanjut perlu mendapat saranan daripada KKM.

“Alhamdulilah kalau kita lihat laporan KKM trend jumlah positif sudah tidak menaik, pada masa sama kita berharap tahap kepatuhan orang ramai pada perintah ini diikuti dengan baik.

“Saya percaya jika diikuti ia bukan setakat mendatar tapi menurun, namun keputusan untuk teruskan PKP atau tidak akan diputuskan oleh KKM,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai program sanitasi awam, katanya, sehingga kini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenalpasti sebanyak 348 kawasan untuk pelaksanaan operasi berkenaan di seluruh negara.

Beliau berkata, sehingga semalam sebanyak 93 kawasan telah melalui proses nyah cemar sejak diadakan pada 27 Mac lalu.

“Hari ini saja sebanyak 46 kawasan di lapan negeri telah dilakukan proses nyah cemar dan atas nasihat Kementerian Kesihatan prosedur operasi standard (SOP) untuk operasi sanitasi awam telah dibangunkan untuk memberi panduan kepada semua pihak,” katanya.

Ismail Sabri berkata, SOP baharu itu dibangunkan selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada pelbagai pihak bahawa operasi tersebut tidak mengikut SOP KKM dan sebagainya.

Sehubungan itu, katanya, selepas ini operasi nyah cemar akan diteruskan bukan sahaja di tempat awam malah juga ke rumah-rumah.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk keseimbangan kesihatan, keselamatan dan ekonomi berikutan terdapat keluh kesah daripada peniaga selepas banyak premis perniagaan ditutup akibat Covid-19.

Berikutan itu, katanya, jawatankuasa tersebut yang akan dipengerusikan secara bersama antara Menteri Kanan (Keselamatan) dan Menteri Kanan (Ekonomi) akan membincangkan mengenai hala tuju dan SOP tertentu bagi membantu pihak industri.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here