PKP Fasa 3: Tindakan lebih tegas melibatkan tangkapan

0
313

SHAH ALAM – Trend pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak Covid-19 terus meningkat walaupun Fasa 3 PKP bakal bermula hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Deputi Superintendan Zainuddin Abdul Hamid, pihaknya tidak akan sekadar mengenakan kompaun selepas PKP Fasa 2 berakhir tetapi akan melaksanakan tindakan lebih tegas.

“Operasi hari ini adalah untuk memastikan orang ramai mematuhi PKP dan ia dilakukan dari semasa ke semasa. Kerajaan tidak mahu lagi kompaun dilaksanakan tetapi tindakan lebih tegas akan dikenakan.

“Setakat ini trend tangkapan terus meningkat. jika masyarakat masih berdegil dan tidak menghormati arahan yang diberikan, tangkapan dan tindakan tegas dilakukan secara total,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada dalam Operasi Bersepadu Pematuhan PKP antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Shah Alam di sekitar Seksyen U5 di sini malam tadi.

Yang hadir sama Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd. Rashidi Ruslan dan Penolong Pegawai Tadbir ( Penguat Kuasa) Pejabat Tanah Daerah Petaling,, Mohd. Farid Shaharir.

Zainuddin berkata, seramai 110 anggota PDRM, penguat kuasa MBSA dan kakitangan PTG terlibat dalam operasi yang bermula daripada pukul 8.30 hingga 11.30 malam itu.

Sementara itu Mohd. Rashidi berkata, operasi bersepadu tersebut adalah yang ketiga melibatkan pihak MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan yang mentadbir kawasan terbabit.

“Setelah beberapa operasi yang dijalankan saya berharap masyarakat di bawah pentadbiran MBSA terus mematuhi PKP.

“Patuhi waktu yang dibolehkan dan dilarang untuk keluar rumah bagi memastikan PKP dengan tujuan mengekang penyebaran wabak Covid-19 dapat dijayakan dengan sempurna,” katanya.

Dalam operasi selama dua jam itu, kesemua yang melanggar PKP dibawa ke Balai Polis Kampung Melayu Subang dengan diiringi anggota polis bagi tindakan seterusnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here