PKP fasa ketiga tunjukkan kemajuan ketara

0
138
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Rakyat Malaysia digesa terus fokus memerangi wabak Covid-19 supaya graf penurunan kes positif jangkitan penyakit tersebut dapat terus diperhebatkan lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berikutan itu, semua pihak perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan dengan terus duduk di rumah dan mematuhi PKP.

“Hari ini kita semua telah memasuki PKP fasa keempat. Kita dapat lihat kemajuan yang ketara pada PKP fasa ketiga bermula 14 hari lepas.

“Bukan sahaja kita dapat meratakan lengkuk atau ‘flattening the curve’ tetapi penurunan yang konsisten terhadap kes positif jangkitan Covid-19,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

PKP fasa keempat yang bermula hari ini akan ditamatkan pada 12 Mei ini dan keputusan sama ada PKP akan dilanjutan atau ditamatkan dijangka dapat diputuskan melalui kejayaan negara memutuskan rantaian Covid-19 di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri melahirkan keyakinan bahawa seluruh rakyat Malaysia, dapat melakukan usaha tersebut secara bersama-sama.

“Usaha kita inilah yang dapat menjadi contoh kepada dunia dimana kesepaduan dan fokus kita hanyalah untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini supaya kita dapat menamatkan krisis pandemik ini di negara kita.

“Kita hebatkan lagi graf penurunan kes positif Covid-19 pada PKP keempat ini.

“Walau apa pun cubaan dan dugaan yang mendatang, saya harap rakyat terus fokus dan bersatu padu melawan virus yang berbahaya ini,” ujarnya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here