PKP : Individu ingkar dihadapkan ke mahkamah

0
62

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Mana-mana individu yang didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dihadapkan ke mahkamah agar hukuman lebih berat boleh dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan yang sama turut dilaksanakan terhadap kes-kes di bawah Kanun Kesiksaan seperti menghalang tugas penjawat awam dan melanggar sekatan jalan raya.

“Kes-kes seperti ini akhirnya akan menyebabkan mereka dituduh di bawah tuduhan yang memberikan hukuman lebih berat lagi,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Mengulas mengenai pandangan bahawa kompaun RM1,000 yang dikenakan kepada individu yang ingkar PKP adalah rendah berbanding negara lain, beliau berkata, jumlah itu jelas menerusi akta dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Jika kita ingin mengubahnya ia perlu dibawa ke Parlimen, jadi setakat hari ini kompaun masih lagi pada kadar tersebut.

“Walau bagaimanapun pihak polis mempunyai pilihan sama mahu mengenakan kompaun atau bawa kes ke mahkamah.

“Terserah kepada polis untuk gunakan budi biacara, mungkin kes yang tidak terlalu besar mereka kompaun, tapi kalau kes itu dirasakan perlu dihadapkan ke mahkamah mereka akan berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 1,220 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ismail Sabri daripada jumlah tersebut, seramai 854 individu dikenakan kompaun RM1,000, 345 direman dan 21 diberikan jaminan polis.

“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan setakat semalam sebanyak RM2,156 dan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sejak dari 18 Mac sehingga semalam adalah seramai 8,125,” katanya.

Beliau berkata, PDRM dengan kerjasama Angakatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan sebanyak 783 sekatan jalan raya di seluruh negara, semalam.

‘Sebanyak 435,361 kenderaan turut diperiksa sepanjang sekatan jalan raya dilaksanakan.

“Sebanyak 48,123 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dan sebanyak 6,158 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here