PKP: Jumlah tangkapan bertambah, tiada lagi kompromi

0
68
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Pertambahan jumlah tangkapan dan kompaun membuktikan pihak berkuasa semakin tegas dan tidak berkompromi kepada orang ramai yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tangkapan keseluruhan individu yang ingkar PKP sehingga semalam adalah 8, 647 orang dengan keseluruhan 3,105 kompaun.

Katanya, semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 1,471 individu ingkar perintah PKP melibatkan 949 individu yang dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 manakala seramai 503 direman dan 19 individu dijamin polis.

“Jika dilihat dari segi jumlah tangkapan, ia terus bertambah. Ini menunjukkan bahawa pihak polis tidak lagi berkompromi.

“Semalam juga sebanyak 51 individu didakwa di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ismail berkata, kadar pematuhan orang ramai setakat ini berada pada tahap 97 peratus.

“Semalam PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 784 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan sekatan ke atas 358, 593 kenderaan.

“Sebanyak 35,835 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan 5,275 premis diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas mengenai operasi sanitasi awam, Ismail memaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu telah melakukan 1,527 operasi di 89 zon termasuk 26 zon merah.

“Secara keseluruhannya, operasi itu melibatkan sebanyak 1,062 bangunan kerajaan, 518 tempat awam, 675 pusat perniagaan dan 124 pasar raya.

“Semalam sebanyak 114 operasi sanitasi meliputi 43 zon di 12 negeri termasuk 33 kawasan di Johor dan 19 di Pahang.

“Ia melibatkan sebanyak 75 bangunan kerajan, 36 tempat awam, 76 pusat perniagaan dan 5 pasar raya yang disanitasi,” katanya.

Selain itu, KPKT sehingga kini telah melakukan proses sanitasi awam di 37,686 unit kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR).

“KPKT juga telah selesai melakukan sanitasi di 26 kawasan guna sama zon merah di Selangor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here