PKP: Kadar jenayah turun 70 peratus

0
133

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA- Indeks Jenayah di negara ini dilaporkan berkurangan sebanyak 70 peratus sejak tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, disebalik kebimbangan orang awam yang sering menyatakan kerisauan mereka berhubung kejadian jenayah, pihak polis melaporkan kadar jenayah semakin menurun.

“Ini adalah satu berita menggembirakan kepada orang ramai yang sentiasa memberi komen dan menyatakan kebimbangan berhubung kejadian jenayah meningkat, tapi statistik polis menunjukkan indeks jenayah berkurangan,” katanya pada sidang akhbar harian pelaksanaan PKP di Putrajaya hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sebanyak 763 sekatan jalan raya dilakukan dan sejumlah 443, 160 kenderaan diperiksa di seluruh negara oleh pihak polis dan Angkatah Tentera Malaysia (ATM) semalam.

Beliau menambah, seramai 403 individu ditahan di sekatan jalan raya kerana melanggar arahan PKP. Angka ini menunjukkan penurunan berbanding sejumlah 554 tangkapan sebelumnya.

“Walaupun jumlah tangkapan ada menunjukkan penurunan namun jumlahnya masih tinggi berbanding sebelumnya.

“Saya percaya penurunan jumlah yang ditahan itu disebabkan semalam merupakan hari bekerja berbanding hari sebelumnya yang mengambil kesempatan untuk keluar. Walau bagaimanapun kita harapkan angka penurunan ini berterusan,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata daripada 403 yang ditahan semalam, seramai 347 individu telah direman manakala 56 dijamin.

Selain itu ujar beliau, sebanyak 36,483 pemeriksaan mengejut telah diadakan oleh pihak polis di seluruh negara, di mana 4571 premis diperiksa.

“Sejak pelaksanaan PKP, sejumlah 537 individu telah dituduh di mahkamah semalam menjadikan jumlah tangkapan kumulatif individu ingkar PKP dari 18 Mac sehingga 6 April sebanyak 6,452 orang,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here