PKP: Boleh mohon pulang jika terperangkap di kampung halaman

0
256

CYBERJAYA – Kerajaan bersedia untuk memberi kebenaran kepada mereka yang pulang ke kampung halaman sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan untuk kembali ke rumah masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, namun begitu kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat dan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

“Oleh itu untuk peringkat awal kita meminta mereka melaporkan kepada polis jika berkeinginan untuk pulang ke tempat kerja atau rumah masing-masing.

“Mereka boleh mula melaporkan kepada polis melalui kaedah dalam talian iaitu melalui aplikasi Gerak Malaysia bermula 25 April ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata, pemohon berkenaan perlu memaklumkan jumlah ahli keluarga dan memasukkan maklumat lain seperti dari mana dan akan pulang ke mana.

“Mereka perlu maklumkan nama dan berapa jumlah keluarga untuk pulang ke Kuala Lumpur dan dari mana supaya kita boleh dapat perincian, sama ada kawasan itu zon merah atau hijau.

“Bagi yang tidak mempunyai telefon yang boleh daftar secara dalam talian, mereka boleh melaporkannya di balai polis berdekatan untuk maklumkan perincian tentang diri mereka.

“Walau bagaimanapun untuk elakkan kesesakan mereka perlu buat temu janji dengan telefon supaya kita boleh atur pergerakan mereka ke balai polis,” ujarnya.

Namun begitu, Ismail Sabri menegaskan bahawa perkara itu masih dalam kajian dan jika terdapat sebarang pergerakan ia hanya dibenarkan bermula selepas 1 Mei ini.

“Sebelum tempoh itu tiada jaminan lagi diberikan sebab perlu tunggu laporan pada 25 April ini dan waktu itu kita lihat berapa ramai yang hendak pulang kemudian baru boleh buat perancangan dan keluarkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here