
CYBERJAYA – Kerajaan membenarkan klinik haiwan atau veterinar dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memudahkan pemilik haiwan mendapatkan rawatan kepada haiwan peliharaan mereka.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kebenaran itu hanya terhad berdasarkan temujanji yang dibuat.
“Ramai pencinta haiwan yang bertanya adakah klinik haiwan dibuka, kalau tidak dibuka tentulah jika haiwan mereka sakit tidak boleh mendapatkan rawatan.
“Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk benarkan klinik haiwan dibenarkan beroperasi tetapi berdasarkan temujanji,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, pemilik haiwan berkenaan perlu menghubungi klinik veterinar berdekatan untuk mendapatkan tarikh temujanji bagi mengelakkan kesesakan.-MT