PKP lanjut 2 minggu lagi, tidak tolak kemungkinan dilanjutkan lagi

0
121

CYBERJAYA – Kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selama dua minggu lagi bermula 28 April sehingga 12 Mei ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, berdasarkan data-data yang dibentangkan kepada beliau oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dapati bahawa usaha-usaha untuk membendung wabak Covid-19 masih perlu diteruskan. 

Tambah beliau, walaupun angka-angka menunjukkan perkembangan positif, langkah-langkah yang diambil hendaklah diteruskan sampai ke satu masa di mana kerajaan yakin wabak Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya.

“Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  yang dijangka berakhir pada 28 April akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu sehingga 12 Mei,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen RTM1 sebentar tadi.

Beliau menambah, dalam tempoh itu, kerajaan akan menilai data-data terkini yang disediakan oleh KKM untuk menentukan langkah seterusnya. 

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini.  Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung.

“Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, walau bagaimanapun, jika kes-kes Covid-19 terus mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial.

“Ini untuk membolehkan saudara-saudari menjalani kehidupan yang lebih selesa. Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini,” jelasnya. – MT  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here