PKP: Masjid beri bantuan kepada penduduk tidak kira agama, kaum

0
492

CYBERJAYA – Dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, ramai pihak tampil menganjurkan pelbagai program bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang terjejas.

Sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) syarikat besar atau kecil sehingga individu tidak henti-henti menghulurkan bantuan mereka kerana menyedari golongan terbabit terputus bekalan makanan.

Sebuah masjid yang terletak di Petaling Jaya, Masjid Al-Islamiah bukan sahaja menghulurkan bantuan kepada umat Islam sahaja tetapi bukan Muslim juga turut menerima manfaatnya.

Perkara itu tular dalam media sosial Facebook sehingga mendapat pujian warga maya termasuk pemimpin masyarakat yang kagum dengan usaha tersebut.

Warga maya terharu dan bersyukur kerana pengurusan masjid berkenaan bertindak tanpa mengira agama dan kaum dalam menghulurkan bantuan.

Jurucakap Masjid Al-Islamiah, Muhammad Hafis Asib berkata, inisiatif itu bertujuan membantu mereka daripada kategori B40 yang terdiri daripada majoriti penduduk di kawasan itu, yang kebanyakannya hilang pendapatan berikutan pelaksanaan PKP.

Memetik portal Free Malaysia Today, Hafis berkata, kira-kira 40 peratus penduduk di kawasan itu merupakan orang bukan Islam.

“Kami mengalu-alukan kehadiran mereka. Kami tidak mahu menghampakan mereka. Dalam Islam, sesiapa yang memerlukan bantuan harus dibantu,” katanya kepada portal tersebut.

Menurut Hafis, pihaknya bersyukur kerana dapat lakukan sesuatu dalam masa seperti sekarang.

Dia juga merayu lebih banyak dana diberikan untuk membeli barangan keperluan dengan berkata, masjid itu mempunyai dana yang terhad.

Mereka yang ingin menderma boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam masjid 12047010016405.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here