PKP: Mufti Melaka keluar garis panduan sambut Aidilfitri

0
194

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Jabatan Mufti Negeri Melaka menyarankan amalan ziarah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya dibuat menggunakan alat komunikasi dan media sosial.

Melalui pekeliling garis panduan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika PKP yang dikeluarkan Jabatan Mufti Melaka bertarikh 23 April lalu, jabatan itu turut melarang penganjuran rumah terbuka Aidilfitri bagi mengelakkan penularan wabak penyakit.

Selain itu amalan menziarahi kubur juga tidak disarankan.

“Bacaan surah Yasin dan tahlil boleh diadakan di rumah selepas solat sunat Aidilfitri bagi menggantikan amalan menziarahi kubur pada pagi hari raya,” kata Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil menerusi pekeliling berkenaan.

Bagaimanapun menurut Abdul Halim, amalan bertukar kuih-muih sempena hari raya boleh dilaksanakan dengan tatacara bersesuaian mengikut perintah keselamatan dan taklimat kesihatan.

Pada masa sama menurutnya, solat sunat Hari Raya Aidilfitri juga perlu dilaksanakan di rumah masing-masing.

“Solat sunat hari raya boleh dilaksanakan tanpa atau dengan khutbah mengikut kemampuan dan kesesuaian dan hanya dibenarkan berjemaah dalam kalangan ahli keluarga dalam rumah tersebut,” katanya.

Namun ahli keluarga yang baru sembuh daripada Covid-19 dan yang diarahkan untuk kuarantin di rumah tidak dibenarkan menyertai solat sunat secara berjemaah.

“Walau bagaimanapun, kedua-dua individu dalam kategori tersebut boleh melaksanakan solat sunat hari raya secara bersendirian,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pesakit dan petugas di hospital dibenarkan melaksanakan solat sunat hari raya tertakluk kepada peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Katanya, bagi petugas yang diamanahkan bertugas di masjid dan surau, mereka boleh melaksanakan solat sunat hari raya tertakluk kepada pekeliling dan arahan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai takbir Hari Raya Aidilfitri, katanya, takbir hari raya di masjid dan surau hanya dilaksanakan oleh imam, bilal dan siak sahaja atau dengan menggunakan rakaman.

“Digalakkan untuk setiap keluarga melaungkan takbir hari raya di rumah masing-masing sehingga sebelum solat sunat hari raya dilaksanakan.

“Takbir dari rumah ke rumah pada malam hari raya adalah tidak dibenarkan. Pengendali stesen radio dan televisyen disarankan untuk menyiarkan rakaman takbir hari raya yang sedia ada dengan meletakkan kapsyen ‘Rakaman ini telah dibuat sebelum tempoh PKP’,” ujarnya.- MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here