PKP: Mufti Pulau Pinang putuskan solat sunat Hari Raya Aidilfitri dibuat di rumah bersama keluarga

0
603

CYBERJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan solat sunat Hari Raya Aidilfitri hendaklah dilaksanakan di rumah masing-masing ketika berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, solat sunat hari raya itu boleh dilaksanakan tanpa atau dengan khutbah mengikut kemampuan dan kesesuaian.

Katanya lagi, hanya dalam kalangan ahli keluarga dibenarkan berjemaah dalam rumah tersebut.

“Ahli keluarga yang baru sembuh daripada Covid-19 dan yang diarahkan untuk kuarantin di rumah tidak dibenarkan menyertai solat sunat secara berjemaah.

“Walau bagaimanapun, kedua-dua individu dalam kategori tersebut boleh melaksanakan solat sunat hari raya secara bersendirian,” katanya dalam satu kenyataan mengenai garis panduan sambutan hari raya ketika PKP.

Dalam pada itu, katanya, pesakit dan petugas di hospital dibenarkan melaksanakan solat sunat hari raya tertakluk kepada peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Katanya, bagi petugas yang diamanahkan bertugas di masjid dan surau, mereka boleh melaksanakan solat sunat hari raya tertakluk kepada pekeliling dan arahan yang ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

Sementara itu, mengulas mengenai takbir Hari Raya Aidilfitri, katanya, takbir hari raya di masjid dan surau hanya dilaksanakan oleh imam, bilal dan siak sahaja atau dengan menggunakan rakaman.

“Digalakkan untuk setiap keluarga melaungkan takbir hari raya di rumah masing-masing sehingga sebelum solat sunat hari raya dilaksanakan.

“Takbir dari rumah ke rumah pada malam hari raya adalah tidak dibenarkan. Pengendali stesen radio dan televisyen disarankan untuk menyiarkan rakaman takbir hari raya yang sedia ada dengan meletakkan kapsyen ‘Rakaman ini telah dibuat sebelum tempoh PKP’,” ujarnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here