PKP: Peniaga ingkar arahan cuba rasuah ditahan SPRM

0
151

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang peniaga kerana dipercayai merasuah anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan menjalankan perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Suspek yang merupakan peniaga kedai peralatan komunikasi berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira 2 petang semalam dan dibawa ke Pejabat SPRM Kluang untuk membantu siasatan.

Setelah keterangan diambil oleh pihak berkuasa, suspek yang disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dilepaskan dengan jaminan.  

Sebelum itu, suspek dikatakan telah dikenakan kompaun oleh pihak MPK atas kesalahan ingkar arahan notis kali kedua mengikut Seksyen 109 Akta 171 yang mana kadar kompaun bagi kesalahan tersebut berjumlah RM1,000.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd. Razali ketika dihubungi Malakat Tribune mengesahkan tangkapan tersebut.

“SPRM menasihati semua pihak agar menjauhi dan tidak melakukan sebarang aktiviti rasuah kerana suruhanjaya ini tetap akan mengambil tindakan terhadap setiap aduan kesalahan rasuah yang diterima walaupun sepanjang tempoh PKP sedang berkuatkuasa,” katanya – MT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here