PKP: Pergerakan pulang pelajar IPT bermula esok

0
87

CYBERJAYA – Pergerakan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta untuk pulang ke kampung halaman masing-masing akan bermula malam esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, untuk peringkat pertama pergerakan terbabit akan bermula di IPT yang berada di zon tengah seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beberapa IPT lagi.

“Terdapat beberapa isu di sini seperti pergerakan dari zon merah ke zon hijau dan zon hijau ke zon hijau, tetapi ada juga pelajar IPT yang dari zon hijau nak pulang ke zon merah macam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Simpang Renggam.

“Di kawasan PKPD kita tidak benarkan pulang tapi ada cadangan supaya mereka pulang ke rumah saudara terdekat dahulu yng berada di zon hijau seperti rumah kakak atau abang mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bilakah kerajaan akan benarkan semua pelajar IPT pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam pada itu, katanya, terdapat juga isu berkaitan pelajar IPT yang berada di luar kampus tinggal di zon merah.

Beliau berkata, perkara tersebut akan dibincangkan secara lanjut oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi mendapatkan penyelesaian segera.

“Contohnya pelajar yang tinggal di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kawasan ini merupakan kawasan merah dan kampung mereka berada dalam zon hijau jadi kita sedang perhalusi perkara ini adakah mereka perlu jalani ujian ‘swab’ Covid-10 sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, jika pelajar tersebut berada di zon merah dan mahu pulang ke zon merah, pihaknya tidak benarkan.

Sementara itu, ditanya bilakah kerajaan akan benarkan mereka yang berada di kampung pulang ke bandar atau tempat kerja selepas membuat permohonan, katanya, perkara itu akan dibuat selepas semua pergerakan pelajar IPT pulang selesai.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here