PKP: Razman mohon maaf

0
366

IPOH – Exco Perak, Razman Zakaria hari ini memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat selepas gambarnya tular dalam media sosial menghadiri jamuan bersama seorang timbalan menteri di sebuah maahad tahfiz di Lenggong.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil itu dalam permohonan maaf menerusi laman Facebook miliknya berkata, beliau mahu menjelaskan kekhilafan yang berlaku dan tidak berniat untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang.

Malah Pesuruhjaya Pas Perak itu berkata, usaha seperti itu dilakukan setiap hari bagi memberi bantuan kepada petugas barisan hadapan dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Dalam setiap tindakan, kami amat titikberatkan perihal SOP dan sekiranya ada tindakan kami yang dilihat melanggar SOP Insya-Allah kami akan atasi,” katanya.

Semalam tular beberapa gambar menunjukkan Razman dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali sedang makan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong.

Gambar berkenaan menjadi bahan perdebatan warga maya kerana golongan kenamaan itu disifatkan bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bahkan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Tindakan itu dianggap tidak wajar ketika kerajaan mengarahkan seluruh rakyat Malaysia mematuhi arahan yang ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan mengambil keterangan exco berkenaan bersama beberapa individu berkaitan gambar yang tular tersebut.

Kejadian tersebut juga mendapat perhatian Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang akhbar harian semalam dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here