PKP: Siapa kata usahawan Muslim pemalas

0
240

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan pada 18 Mac lalu seakan-akan menyentak hati orang ramai kerana perlu duduk dirumah bagi mengekang penularan Covid-19 daripada terus merebak.

Kehidupan masyarakat bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh dunia akibat wabak itu berubah 100 peratus. 

Jalan raya lengang, pusat beli-belah tiada pengunjung malah taman-taman rekreasi juga turut tiada kunjungan orang ramai.

Ini demi memastikan wabak berkenaan tidak merebak dengan lebih pantas. Kita tidak tahu orang sebelah menghidapi wabak tersebut atau tidak.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Bagi peniaga jika sebelum ini berniaga dengan memperoleh pendapatan selesa kini mengubah strategi dalam kelangsungan perniagaan mereka tidak terjejas.

Penggunaan teknologi ternyata tidak disia-siakan. Dengan satu gigabait data internet percuma kepada seluruh rakyat ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan itu membuat jualan secara dalam talian.

Berdasarkan pengamatan penulis dalam media sosial, golongan ini merebut peluang yang ada dalam meneruskan kehidupan. Ada yang menjual roti secara talian, menjual penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman.

Tiga produk ini mendapat permintaan dalam kalangan pengguna. Mereka bijak ‘menghidu’ peluang dalam meraih pendapatan. 

Namun jika dilihat ketiga-tiga barang ini sudah menjadi satu keperluan dalam musim PKP ini.

Ini merupakan sumbangan kecil mereka kepada masyarakat. Walaupun nampak seperti ‘tiada produk lain ke hendak jual’ tetapi buat masa ini itulah keutamaan bagi setiap orang di negara ini.

Penulis sempat berbual dengan seorang usahawan yang memiliki saiz perniagaan yang sentiasa mendapat permintaan. Tetapi apabila berlakunya wabak Covid-19, beliau mengakui seakan-akan ‘terduduk’ dengan bencana itu.

Namun rakan sahabat ini tidak melatah. Beliau mencari peluang yang ada untuk memastikan perniagaan tidak terjejas.   

Baginya hendak mengeluh tiada berguna. Lebih baik mencari alternatif lain dalam meneruskan kehidupan. 

Maka lihatlah hikmah disebalik Covid-19 ini. Namun usaha membanteras wabak ini perlu diteruskan. Ubah gaya hidup dan utamakan kebersihan yang sebelum ini kurang diambil perhatian dalam setiap lapisan masyarakat. – MT 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here