PKP sudah diwartakan – Ismail Sabri

0
167
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kesemua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak fasa pertama hingga ke keempat sudah diwartakan agar tindakan penguat kuasaan boleh dijalankan oleh pihak berkuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pewartaan itu dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (4) 2020.

“Saya perjelaskan ini kerana dalam PKP lalu ada peguam menulis mengatakan PKP tidak diwartakan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kesemua PKP dari satu hingga empat sudah diwartakan supaya pihak berkuasa boleh melaksanakan penguat kuasaan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKP fasa empat juga sudah diwartakan dan berkuat kuasa antara 29 April hingga 12 Mei.

Menurutnya, terdapat sedikit kelonggaran bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) pergerakan dalam PKP empat berbanding sebelum ini.

Katanya, bermula hari ini, kerajaan membenarkan dua orang untuk bergerak dalam satu kenderaan, dengan syarat kedua-duanya adalah ahli keluarga dan dari rumah yang sama.

“SOP pergerakan sebelum ini membenarkan pergerakan hanya seorang dalam kenderaan bagi radius 10 kilometer dari kediaman dan pergerakan yang melebihi 10 kilometer adalah atas budi bicara PDRM.

“Dalam pewartaan terbaru, kerajaan memutuskan untuk membenarkan pergerakan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan boleh melebihi radius 10 kilometer sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediamannya,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here