PKP: Tangkapan di kawasan zon hijau jika ingkar arahan

0
84
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kerajaan memberi peringatan kepada orang ramai agar terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun berada di zon hijau.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap arahan ini dapat dipatuhi oleh orang ramai di zon hijau walaupun mengatakan di kawasan itu sudah tiada kes baru dicatatkan.

Namun, tegas beliau, undang-undang PKP masih lagi diteruskan seperti biasa dan jika berlaku pengingkaran PKP di zon hijau mereka juga akan ditangkap seperti di tempat lain.

“Semalam saya sudah seronok apabila tiga hari berturut-turut jumlah tangkapan menurun tetapi (jumlah penahanan mereka yang ingkar PKP) semalam naik kembali.

“Saya ingin ingatkan bahawa PKP belum ditamatkan. Tindakan polis tetap seperti biasa tegas dan keras kepada sesiapa sahaja yang melanggar PKP.

“Jadi tolong patuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak polis dan beri kerjasama dengan pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Dalam pada itu, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 824 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 446,024 kenderaan.

Katanya, sebanyak 37,128 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,798 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

“PDRM telah menangkap 577 individu berbanding 386 individu hari sebelumnya kerana ingkar PKP, merangkumi 505 individu yang direman dan 72 individu dijamin polis.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 20,011 individu,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here